Sunday, October 11, 2009
Saturday, May 16, 2009
GURU ADALAH PENDIDIK
Kata seorang ahli pendidikan Amerika, K. Patricia Cross :
“The task of the excellent teacher is to stimulate apparently ordinary people to unusual effort. The tough problem is not in identifying winners: it is in making winners out of ordinary people.”
16 Mei setiap tahun adalah Hari Guru. Jika kita merenung kembali ke belakang, maka nampaklah siapa sebenarnya yang mencorakkan hidup kita menjadi manusia seperti hari ini. Selain kedua ibu bapa, gurulah orang yang tidak pernah letih dan jemu mendidik muridnya supaya menjadi manusia untuk meneruskan perjalanan singkat hidup kita di dunia ini. Jika ingin disenaraikan, maka tersusunlah satu senarai panjang guru-guru kita sejak dari tadika sehingga masuk universiti. Tapi, di ruangan smaasza96ers ini, memadailah kalau disenaraikan guru-guru yang sangat berjasa:
Untuk itu kami, warga smaasza sessi 96 ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada guru-guru kami yang tercinta iaitu:
1. Cikgu Ruzak Mat Noor
2. Ustz. Engku Radhiah binti Long Haji
3. Cikgu Wan Fatimah
4. Cikgu Mat Rani
5. Cikgu Noraini
6. Cikgu Maimon
7.
TERIMA KASIH CIKGU
~peja~
Wednesday, May 6, 2009
5 Sasterawan Negara yang masih hidup tolak gelaran
Sasterawan Negara tolak gelaran demi menentang PPSMI. Antaranya ialah:
Datuk A Samad Said
Prof Dr Muhammad Haji Salleh
Profesor Emeritus Shahnon Ahmad
Datuk Abdullah Hussein
Datuk Nordin Hassan
p/s: tulisan yang dimerahkan merupakan salah satu siri pembohongan menteri kepada rakyat sejak sekian lama. Bagaimana kita yang mengaku cerdik boleh tertipu dengan kenyataan 'MENIPU' menteri yang menjaga hal ehwal kebajikan persekolahan anak-anak bangsa. Aduhai malang sungguh jadi rakyat tertipu!
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Oleh Jimadie Shah Othman
Malaysiakini
Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.
Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.
Alasan-alasan itu, antaranya:
Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.
Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".
Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.
Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]
Buang gelaran rasmi
Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".
"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.
Sementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."
"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.
"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.
"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."
Surat kepada PM
Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.
"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.
"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.
"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:
"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.
Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.
Akan terus lawan
A Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.
"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.
"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.
Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.
"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.
"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."
Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.
Pertikai meja bulat
Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.
Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.
"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.
"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.
"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.
Kejutkan dunia sastera
Awal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.
Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.
Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.
Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.
Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.
Friday, April 3, 2009
Mari menggerakkan minda: Tentang isu PPSMI
Oleh yang demikian, sebagai warga yang peduli tentang nasib bangsa, agama dan tanahair, mari kita menggerakkan minda menyelami apa yang tersirat dan tersurat di sebalik isu PPSMI.
Kumpulan smaasza96'ers terdiri daripada lulusan universiti dan begelar profesional muda termasuk yang bakal bergelar doktor PhD. Jadi sejajar dengan kematangan dan peningkatan usia, jadi elok benar sekiranya kita mengambil cakna tentang isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan anak bangsa pada masa akan datang.
Jadi dipersilakan memberi pendapat tentang isu ini agar ia dapat menggerakkan menajamkan minda dan menggalakkan proses berfikirsecara kritis dan kreatif.

Kalau sayang duit RM20 , boleh download kat SINI
Ni forum mengenai PPSMI last yang aku hadir sebelum datang Canada.Sila beri pendapat!
~peja~
Sunday, January 25, 2009
Memorandum ASASI terhadap PPSMI ( Apa pendapat para cikgu-cikgu?)
Memorandum Akademik Sains Islam Malaysia (ASASI) tentang PPSMI
1. Prestasi pelajar yang diajar sains dan matematik di dalam bahasa ibunda lebih cemerlang
Para sarjana Dunia telah ijmak bahawa penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan peringkat awal lebih berkesan daripada penggunaan bahasa asing pada tahap pendidikan itu. Banyak kajian penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan yang telah diperakui oleh UNESCO menunjukkan pelajar di peringkat permulaan pendidikan yang diajar dengan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar mempunyai prestasi lebih cemerlang daripada pelajar yang diajar di dalam bahasa asing.
Banyak kajian di Malaysia menunjukkan prestasi pelajar yang diajar sains dan matematik di dalam bahasa pengantar bahasa Inggeris menurun berbanding dengan prestasi pelajar yang diajar sains dan matematik di dalam bahasa pengantar bahasa Melayu dahulu itu.
2. Bahasa Inggeris bukan bahasa tunggal S & T
Kajian sejarah S & T telah membuktikan bahawa hampir semua penemuan sains penting bukan dalam bahasa Inggeris tetapi di dalam bahasa ibunda penemunya. Setiap bangsa maju itu mempribumi dan mengungkap S & T dalam bahasanya sendiri mengikut kosmologi, pandangan alam dan nilai agama serta budayanya sendiri, menguasainya serta mengkritiknya dan akhirnya mengarya saisn dan teknologinya sendiri. Tiada bangsa maju yang mengarya S&Tnya dalam bahasa asing.
3. Kejayaan pembudayaan S &T tidak bergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris
Pendidikan S & T dalam bahasa Melayu di Malaysia sejak dasar pendidikan beraliran bahasa Melayu dalam masa 20 tahun ini telah melahirkan ahli sains dan jurutera yang berwibawa dan berjaya. Kemenangan ahli sains dan jurutera Melayu berpendidikan aliran bahasa Melayu di Salon International des Invention, Geneve, Switzerland; World Exhibition of Innovation, Research and New Technologies, Brussels, Belgium; British Invention Show, London; dan Seoul International Invention Fair membuktikan keampuhan bahasa Melayu melahirkan ahli sains dan jurutera Melayu bertaraf Dunia itu. Kecemerlangan mereka tidak sedikit pun tercela dengan pendidikan bahasa Melayu.
4. Bahasa Melayu adalah faktor genting dalam pembudayaan S &T di Malaysia
Pembudayaan S&T yang sebenar amat berhubung rapat dengan pencernaan S &T dalam sistem pemikiran yang serasi dengan kosmologi dan pandangan alam sesuatu bangsa yang terungkap di dalam bahasa ibundanya. Oleh yang demikian kejayaan pembudayaan S&T di Malaysia amat bergantung kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Inilah inti pati daripada slogan “bahasa jiwa bangsa”. Impian para pemimpin Malaysia untuk menjadikan Malaysia maju dalam acuannya sendiri akan kekal menjadi angan-angan sahaja jika S&T masih terus dibudayakan dalam bahasa asing.
5. Bahasa Melayu bukan faktor pembantut penguasaan S &T
Kejayaan yang luar biasa Malaysia dalam masa 20 tahun dengan dasar bahasa Melayu dalam pendidikannya merupakan bukti keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa poengantar S&T. Kemenangan ahli sains dan jurutera Melayu berpendidikan aliran bahasa Melayu di Salon International des Invention Geneve; World Exhibition of Innovation, Research and New Technologies, Brussels, Belgium; British Invention Show, London; dan Seoul International Invention Fair menunjukkan bahawa keampuhan bahasa Melayu melahirkan ahli sains dan jurutera Melayu bertaraf Dunia itu amatlah ketara dan tidak boleh dinafikan lagi.
6. Mendahulukan Penguasaan S & T bangsa Melayu dengan menggunakan Bahasa Inggeris akan membunuh Bahasa Melayu
Dasar meninggalkan bahasa Melayu dahulu dalam mengejar kemajuan ekonomi dalam bahasa Inggeris, dan setelah berjaya kelak barulah memperkasakan bahasa Melayu adalah tidak akan berjaya kerana sejarah telah menunjukkan bahawa tiada bahasa yang ditinggalkan begitu lama dapat disesuaikan semula dengan perkembangan zaman (contoh: bahasa Latin). Malah kemajuan bahasa-bahasa maju tidak pernah berlaku mengikut cara ini.
7. S & T sarat nilai dan tidak neutral kerana dibentuk oleh kosmologi, pandangan alam dan nilai budaya sesuatu bangsa
Pada hakikatnya S&T yang dipribumi dan diungkap dalam bahasa nasional setiap bangsa maju diwarnai kosmologi, pandangan alam dan nilai budaya. Maka S&T yang diungkap dalam bahasa Inggeris itu dibebani kosmologi dan pandangan alam Inggeris yang asing bagi banga Melayu. S&T di Malaysia semestinyalah diungkapkan dalam bahasa Melayu yang beracuan Islam yang lebih dekat dengan budayanya kerana Malaysia mempunyai sejarah hubungan rapat dengan Islam.
8. Pengajaran S&T dalam bahasa Inggeris tidak akan menghasilkan lebih ramai orang Malaysia menguasai bahasa Inggeris
Penguasaan bahasa Inggeris tidak ada hubungan langsung dengan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Bahkan pelajar pada peringkat permulaan pendidikan akan mengalami kesukaran memahami S&T kerana terpaksa menterjemahkan dahulu istilah bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, memahaminya dahulu sebelum mencuba memahami ilmu sains dan matemtik pula.
9. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu tidak akan mudah berintegrasi menggunakan bahasa Inggeris yang asing
Penggunaan bahasa Inggeris di India sebagai bahasa rasmi kerajaan dan pendidikan gagal mengintegrasi rakyat India berbilang kaum kerana bahasa Inggeris itu asing bagi rakyat jelata India. Pelajar sekolah di bawah sistem pendidikan kebangsaan ternyata lebih berpeluang bersaling tindak yang jauh lebih luas dan lebih hebat antara pelbagai kaum dalam bahasa Melayu.
10. Desa sejagat dan kepelbagaian bahasa
Pengiktirafan hanya kepada satu bahasa atas alasan desa sejagat yang de facto berbahasa Inggeris dengan mengabaikan atau mematikan sesuatu bahasa lain adalah bertentangan dengan hak asasi manusia yang menuntut pengiktirafan bahasa-bahasa lain untuk kenal-mengenali antara satu dengan yang lain seperti yang dianjurkan oleh UNESCO. Peluang perniagaan juga tidak tergantung kepada bahasa Inggeris akan tetapi kepada bahasa tempatan pasaran dan kerana itulah antara lain perisian komputer Microsoft juga ditulis dalam bahasa Cina untuk pasaran besar Cina.
11. Dasar pendidikan kebangsaan selama ini tidak merugikan Melayu
Dasar pendidikan negara maju bukan Inggeris seperti Jepun dan Korea telah berjaya mencapai S&T yang setara atau lebih tinggi lagi. Kemampuan orang Melayu kini yang semakin kuat menyaingi kaum lain berbanding dengan nasib malang orang Melayu ketika pendidikan aliran Inggeris dahulu menunjukkan dasar pendidikan kebangsaan menguntungkan lagi orang Melayu.
12. Terjemahan ilmu ke bahasa Melayu amat perlu bagi mengejar kepantasan perkembangan ilmu
Sejarah tamadun membuktikan bahawa peranan terjemahan dalam pembinaan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu itu adalah teramat penting. Terjemahan karya pilihan amat perlu dan banyak menguntungkan perkembangan ilmu dalam sesebuah negara. Para penterjemahlah yang mula sekali memahami ilmu yang diterjemahkannya itu. Jika ramai sarjana Melayu terlibat dalam penterjemahan maka ramailah sarjana Melayu yang tinggi kefahaman ilmunya sehingga mempercepatkan lagi proses kritikan ilmu semasa dan seterusnya meningkatkan kemampuan mengarya ilmu baru ciptaan sendiri pula.
13. Bahasa Melayu tidak menghalang pelajar Malaysia menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)
Perisian komputer sekarang semakin mesra pengguna sehingga seseorang yang buta bahasa Inggerispun boleh berinteraksi dengan komputer peribadinya dengan mudah.
Bahan pendidikan peringkat sekolah dalam internet tidaklah banyak sehingga tanpa penggunaan internet pelajar sekolah akan ketinggalan. Bahkan bahan peringkat sekolah di internet sudah pun banyak dalam bahasa Melayu dan perisian untuk sekolah bestari telah dibuat dalam bahasa Melayu. Penggunaan komputer untuk tujuan menyelesaikan masalah dan menjana ilmu baru itulah memerlukan hanyalah daya khayalan, daya pengaryaan dan kepintaran seseorang tanpa perlu fasih bahasa Inggeris kerana komputer itu alat yang amat mesra pengguna.
14. Penemuan Ilmu Sains Baru dalam bahasa Melayu
Sains yang sedang dikaji kini seperti bioteknologi dan nanoteknologi telah ditemui pada awal abad ke-20 hinggalah ke tahun-tahun 70an. Ilmu sains kini merupakan inovasi kepada penemuan-penemuan asal itu dan telahpun mencapai tahap ketepuan dan kelesuan. Presiden Universiti John Hopkins yang juga merupakan ahli sains tersohor telah menyarankan supaya penyelidikan sains hendaklah kembali menumpu kepada penemuan ilmu sains baru yang akan menghasilkan teknologi masa depan (Financial Times 20/8/2005). Ini merupakan peluang keemasan bagi ahli sains Malaysia untuk menemui ilmu sains baru dengan menggunakan bahasa Melayu yang sarat budaya Melayu dan agama Islam. Sumber tabii pribumi yang belum diterokai mengandungi fenomena alam baru yang dapat menghasilkan ilmu sains baru yang terbina atas kerangka paradigma Melayu dan Islam.
Prof. Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud
Presiden
Akademi Sains Islam Malaysia
~peja~
Thursday, January 15, 2009
Tuesday, January 13, 2009
Isu PPSMI (math n sains in BI) :Bantah atau sokong??
Saya petik dari blog Puan Ainon PTS mengenai isu ini..apa pendapat tuan-puan (terutamanya cikgu cikgi? )
* PPSMI adalah idea mantan Presiden UMNO dan mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang.
* Rakyat jelata tidak pernah meminta PPSMI.
* PPSMI hanya menguntungkan anak-anak yang ibubapanya bertutur bahasa Inggeris di rumah.
* PPSMI menguntungkan anak orang kaya-kaya di bandar.
* Ibubapa yang tidak bertutur bahasa Inggeris tidak dapat menolong pelajaran anak-anak mereka di rumah.
* Anak-anak keluarga miskin dalam bandar dan di luar bandar menjadi mangsa PPSMI.
* PPSMI akan menyusahkan anak orang miskin dan orang kampung menjadi saintis, doktor, jurutera dll.
* PPSMI dibuat oleh kerajaan BN tanpa berunding dengan rakyat.
* Kerajaan BN tidak pernah mendapatkan pandangan guru-guru sebelum membuat dasar PPSMI.
* PPSMI dilaksanakan dengan cara paksaan walaupun ditentang oleh majoriti rakyat.
* Guru-guru tidak pernah bersetuju dengan PPSMI.
* Cendekiawan dan cerdik pandai Melayu tidak pernah dirundingi oleh kerajaan BN sebelum melaksanakan PPSMI.
* Kerajaan BN membakul-sampahkan puluhan memorandum yang menentang PPSMI.
* PPSMI terus dilaksanakan walaupun hasil kajian oleh bijak pandai di universiti mendapati dasar itu gagal.
* Setiap tahun markah lulus peperiksaan diturunkan demi mengaburi mata rakyat.
* PPSMI menguntungkan kontraktor kroni yang membekalkan bahan-bahan bahasa Inggeris.
* Kaum Cina pun menentang PPSMI.
* Yang menyokong PPSMI adalah segelintir golongan elitis yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris.
* PPSMI tidak sah di sisi perlembagaan negara.
* PPSMI menghina bahasa Melayu.
* PPSMI membunuh masa depan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
* Bahasa Inggeris gagal mengkayakan Filipina, India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, negara-negara di benua Afrika yang meminjamnya.
* Semua 40 buah negara maju di dunia menggunakan bahasa masing-masing.
* Semua negara yang meminjam bahasa penjajah semuanya gagal menjadi negara maju dan kayaraya.
* Di mana-mana negara pun bahasa penjajah gagal memandaikan rakyatnya yang miskin.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
Thursday, November 27, 2008
Lanjutan kisah kedai buku di Terengganu
Dipetik dari blog Arief Hakim...Seorang saudagar buku terkenal di KL di bawah tajuk 'posting' blog beliau yang bertajuk:
Pening kedai buku di Terengganu
Pening kedai buku di Terengganu, sampai sekarang tidak ada shopping mall yang beroperasi di Kuala Terengganu. Ini menyebabkan mana-mana kedai yang terfikir untuk membesarkan perniagaan mereka tersangkut.
Rakyat Kelantan lebih bertuah - sudah ada KB Mall yang beroperasi dengan jayanya di Kota Bharu. Malah ada satu lagi yang sedang dibangunkan sekarang, dan katanya akan dianchorkan oleh satu hipermarket gergasi.
Dengan kehadiran mall di KB, 2 kedai buku yang besar sudah dapat satu tapak perniagaan yang sangat baik. Popular Bookstore berdepan dengan satu pemain baru, Kedai buku SMO. Kedua-duanya mencatat jualan yang memberansangkan di KB Mall. Persaingan anatara 2 kedai buku utama ini akhirnya akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembeli buku di Kelantan dengan pelbagai tawaran dan pilihan terkini. Era jualan buku secara moden sudah sampai di Kota Bharu.
Sebaliknya, pembaca buku di Terengganu masih dinafikan dari menikmati kedai buku besar, lengkap dan moden.
Bangunan KT Mall itu sudah siap, tapi sehingga kini tidak dibuka lagi. Saya sendiri pelik kerana mall itu mengambil masa terlalu lama untuk siap dan dibuka. Dari segi permintaan, saya dengar sudah ada retailer yang mahu membuka kedai disitu. Mustahil pemaju mahu berlambat-lambat kerana itu semua kos kepadanya.
Gosip yang kita dengar, "Ada masalah politik" kata rakan-rakan di Kuala Terengganu.
Kalau benar gossip itu, maka teramat rugi ekonomi di Kuala Terengganu ini. Banyak bisnes yang berpotensi untuk maju, menjana pekerjaan, dan memberikan pelbagai pilihan kepada rakyat Terengganu akan tersangkut. Gangguan politik ini sama sekali tidak membantu perkembangan ekonomi negeri.
Satu-satu harapan kepada pembaca di Terengganu ialah Mesra Mall di kertih. Popular Bookstore sudah beroperasi di situ dan khabarnya menerima sambutan yang sangat baik.
Di sebalik kejayaan popular di Mesra Mall, ada satu supermarket yang sehingga kini tidak dapat membuka pintu walaupun semua papan tandanya sudah naik.
Cerita yang sama saya dengar, "Ada masalah politik"
Walaupun tidak selesai 'masalah politik' di Terengganu ini, ternyata warung tomyamnya maju kedepan dengan memberikan perkhidmatan wifi percuma kepada pelanggannya.
-- Posting dari 'payung biru', Kertih.
*************************************************************************************
Komen:
Thursday, October 23, 2008
Pesan Mufti Tentang Memilih Pasangan
Terlebih dahulu, kepada perokok janganlah pula terasa. Ini hakikat yang perlu diterima..
Yer, fakta ini masih boleh dibahaskan oleh ustaz-ustaz kita..Perbincangan terbuka yang matang sangat di alu-alukan!!
*********************************************************************
Utamakan Pasangan Yang Tidak Merokok
Posted on Oct 22, 2008
Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin mencadangkan agar wanita yang ingin berkahwin mengutamakan pasangan yang tidak merokok.
Ini berdasarkan Islam menyuruh agar memilih pasangan yang mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik, sementara merokok merupakan unsur yang mencacatkan.
Ini atas beberapa alasan;
- Perokok sentiasa melakukan perkara yang ditegah oleh agama iaitu merosakkan diri. Majoriti para ulama zaman ini mengharamkan rokok.
- Perokok bukan sahaja membahayakan diri, tetapi juga keluarga; isteri dan anak-anak yang akan terhidu asap beracun rokok. Sepatutnya ibubapa melindungi anak dan keluarga, bukan membahayakan mereka.
- Ramai perokok yang tidak menjaga kebersihan. Bahkan rokok itu sendiri mengotorkan diri. Di samping betapa banyak tandas dan kemudahan awam lain rosak atau cacat disebabkan kesan rokok yang dihisap oleh penggunanya. Ciri yang seperti ini kurang baik bagi seseorang bapa atau ibu yang akan mengepalai keluarga dan rumahtangga.
- Rokok adalah pembaziran. Ramai perokok yang ketagihan sanggup utamakan membeli rokok daripada pemintaan keluarga atau keperluan keluarga yang lain. Mereka berkira untuk perkara-perkara yang baik atau perlu, tetapi lupa diri atau ringan tangan untuk membeli sekotak rokok yang sentiasa meningkat harganya.
- Merokok adalah contoh yang tidak baik untuk anak-anak. Maka perokok mencacatkan ciri-ciri keibubapaan. Justeru, ramai anak perokok turut merokok samada setelah dewasa atau sebelum cukup dewasa.
Atas alasan-alasan ini dan selainnya, maka saya menasihati umat Islam dan kaum wanita khususnya, menjadikan ‘merokok’ adalah salah satu ciri yang mencacatkan pemilihan dalam menentukan pasangan masing-masing.
~peja~
Thursday, September 25, 2008
Korek Hidung tidak Batalkan Puasa
Sumber dari Utusan Malaysia: 23/09/2008
Perkara yang tidak membatalkan puasa
Oleh Muhamad Adib Mohamed Saat
Percayakah anda ketika anda berpuasa anda masih boleh melakukan hal-hal berikut?
l. Anda boleh mengorek hidung, telinga dan lain-lain rongga. Sungguh hairan apakah kaitannya mengorek hidung atau telinga dengan berpuasa. Tidak pastilah kalau ada di kalangan kita yang mengorek hidung atau telinga lalu terasa kenyang. Sesungguhnya tiada dalil yang mengatakan batalnya puasa kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Sekiranya tiada dalil, maka tiadalah hukum makruh atau lain-lain terhadapnya.
lAnda tidak perlu risau untuk berendam di dalam kolam sepanjang waktu di siang hari ketika Ramadan kerana ia tidak makruh dan tidak membatalkan puasa. Lihatlah riwayat hadis yang sahih ini. Seorang sahabat berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan”. (Riwayat Abu Daud: 2365, disahihkan oleh Sheikh Nasiruddin Al-Bani di dalam Sahih Sunan Abu Daud)
lAnda boleh makan walaupun waktu Imsak telah masuk iaitu lebih kurang 10 minit sebelum waktu subuh. Anda hanya perlu berhenti makan apabila diyakini telah masuk waktu subuh. Rasulullah bersabda: “Fajar ada dua jenis, fajar yang apabila ia tiba, haram untuk makan dan dibolehkan melakukan solat (fardu subuh) dan fajar yang apabila ia tiba, kamu tidak dibolehkan melakukan solat (solat subuh) dan dibolehkan makan.” (riwayat Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah).
Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-187 yang bermaksud: Makan dan minumlah kamu sehingga benang putih (waktu fajar) berpisah daripada benang hitam (malam).
Di dalam hadis sahih, Rasulullah bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Umm Maktum mengumandangkan azan.”
Ia sangat baik dan dituntut di dalam agama kita untuk makan di waktu akhir-akhir bersahur berdasarkan hadis yang berikut iaitu, Rasulullah SAW bersabda “Umat aku akan sentiasa kekal dalam keadaan bersederhana dan sempurna selagi mana dia mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur.”
lSekiranya anda telah meyakini bahawa telah masuk waktu subuh dan ada lagi makanan atau minuman yang tinggal di dalam mulut anda. Anda boleh menelan dan menghabiskannya tanpa perlu dikeluarkannya dari mulut anda.
lAnda tidak perlu melafazkan niat seperti Nawaitu Sauma Ghadin… kerana Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah mengajarkannya. Niat itu tempatnya di hati. Apabila anda bangun sahur, ia membuktikan anda sudah berniat untuk berpuasa. Jika tidak, buat apa anda hendak bangun bersahur.
lTidak makruh untuk anda menggosok gigi pada siang hari sepanjang bulan Ramadan sama ada dengan kayu siwak atau dengan berus gigi.
lAnda harus makan dahulu makanan dan minuman sekiranya makanan telah dihidangkan sebelum pergi solat Maghrib. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh- gapah ketika makan malam kamu.” (Muttafaq ‘Alaih, lihat Sahih al-Bukhari: 31).
lAnda boleh pergi ke klinik pergigian untuk mencabut gigi, menampal gigi, mencuci gigi dan sebagainya.
lAnda juga dibenarkan mandi dan berenang. Sekiranya anda telah menelan air secara tidak sengaja, maka ia tidak membatalkan puasa. Menurut kebanyakan ulama, berenang dibenarkan ketika berpuasa manakala menyelam tidak dibenarkan kerana ia akan menyebabkan air masuk ke dalam mulut dan hidung lalu sampai ke perut.
lAnda boleh menggunakan wangi-wangian, memakai kanta sentuh atau menggunakan ubat titik ke dalam mata.
lAnda dibenarkan untuk mengambil suntikan yang bermotifkan untuk rawatan dan perubatan. Bukannya suntikan yang mengambil peranan makanan dan minuman iaitu suntikan untuk memberikan tenaga dan kekuatan kepada anda.
lAnda boleh pergi untuk memeriksa dan menderma darah.
lAnda boleh makan dan minum dengan tidak sengaja. Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud: Umat Islam tidak akan dipertanggungjawabkan atau diampunkan sekiranya melakukan perkara dalam keadaan tersilap, dalam kedaan terlupa dan dalam keadaan terpaksa. (Muttafaq ‘Alaih)
lSekiranya anda tertidur di siang hari dan bermimpi yang menyebabkan keluar air mani, ia tidak membatalkan puasa.
lSekiranya anda melakukan hubungan kelamin dan tidak mandi junub sebelum fajar menyinsing, puasa anda masih sah dan tidak batal dan anda dibenarkan untuk mandi junub selepas waktu fajar.
lSekiranya haid anda tamat pada malam hari, anda boleh berpuasa keesokan harinya walaupun anda mandi junub selepas waktu fajar.
Dalam kedua-dua kes yang di atas, kewajipan mandi junub tetap kekal kepada mereka tetapi berpuasa tidak akan batal dan terkesan dengan ketidaksempatan untuk mandi junub sebelum waktu fajar.
lAnda boleh berciuman dengan suami atau isteri anda ketika berpuasa, tetapi anda perlu mengelakkannya supaya tidak membawa kepada benda yang diharamkan di dalam bulan Ramadan iaitu hubungan kelamin.
Maklumat di atas disebut oleh para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh as-Siyam, Ibn Hazm, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaymin dan lain-lain.
MUHAMAD ADIB MOHAMED SAAT dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
~peja~
Tuesday, September 23, 2008
Kita Anak Malaysia
Saya membaca sebuah blog seorang warganegara Malaysia berbangsa cina yang menulis kesedihan beliau tentang tuduhan liar yang dilemparkan kepada kaum cina terutamanya di Malaysia seperti bangsa pendatang, warga tidak berterima kasih, bangsa syaitan yang tidak boleh mendengar azan dan menyuruh pulang ke Tanah Besar Cina. Lebih berat lagi tuduhan ini bukanlah dilakukan oleh penagih dadah, mat rempit, pelacur, pengangkang dan pengemis tetapi diluahkan oleh seorang yang berjawatan tinggi dan berpengaruh. Apa reaksi kita sebagai warganegara yang waras dan boleh berfikir secara sihat. Saya tidak lihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang sihat dan boleh dibiarkan berlarutan. Kita sedia maklum bahawa
Kita sedar sebagai kaum melayu, kita masih ketinggalan dalam ekonomi, pendidikan dan alam pemikiran yang matang. Jadi apa yang perlu kita buat. Belajarlah dengan mereka yang sudah di hadapan. Janganlah bodoh sombong! Jangan seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, pentingkan diri sendiri! Buang jauh-jauh hasad dengki. Ini tidak, lihat sahaja melayu yang berjaya, macam-macam tuduhan dilemparkan.
Berbalik kepada persoalan asas sebagai warganegara
Salam aidilfitri
Maaf zahir & batin
~peja~
Sunday, June 8, 2008
RENUNGAN DARI MUFTI TENTANG KENAIKAN HARGA MINYAK

Tergenang air mata membaca ulasan mufti tentang kesan kenaikan harga minyak terhadap orang miskin. Saya copy dari web beliau. (www.drmaza.com) Moga-moga Allah merahmati beliau dan pendokong-pendokong gerakan islah
**********************************************************************************
Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin
Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.
Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.
Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.
Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.
Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).
Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.
Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.
Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.
Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.
Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.
Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.
Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.
Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.
Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.
Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.
Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.
Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?
Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.
Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?
Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.






