Thursday, November 8, 2007

Kembalikan Bahasa Melayu dalam Math & Sains

Sori lah geng..entry kali ni takde kena mengena dengan politik. Tapi sama-samalah kita pakat-pakat fikirkan. Ermm..Dr. Sheikh Muzafar yang dah sampai ke ISS pun belajar Math & Sains dalam BM!!

Guna semula istilah 'bahasa Melayu'
08-11-2007 08:19:34 PM
Oleh FATHI ARIS OMAR

KUALA LUMPUR: Umno Johor mempertikaikan langkah kerajaan menggunakan kembali Bahasa Malaysia, dan mahu bahasa kebangsaan dikekalkan sebagai 'bahasa Melayu'.

"Sebab itu, kadang-kadang kita tukar ikut suka-suka, termasuk namanya. Alasannya, supaya diterima oleh semua bangsa, boleh jadi alat perpaduan negara. Apakah kalau namanya bahasa Melayu, saya ulang, apabila namanya bahasa Melayu, bermakna ia membawa perpecahan?" kata perwakilan dari negeri itu, Dr Mohd Puad Zarkashi di perhimpunan Umno di sini hari ini.

"Tunggu apa lagi? Kembalikan namanya kepada bahasa Melayu."

April lalu, Kabinet memutuskan menukar istilah bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bagi mengelakkan polemik selain bagi menunjukkan bahasa itu milik semua kaum, dan pertukaran istilah tersebut akan diguna pakai secara rasmi di semua urusan.

Berucap bagi membahaskan usul ucapan dasar presiden di hari kedua, Dr Mohd Puad juga mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk di Universiti Malaya.

"Sekarang IPTA pula turut celaru. Kalau ada seorang sahaja pelajar luar negara dalam mana-mana mata pelajaran, maka kuliah akan diberikan dalam bahasa Inggeris. ... Ditanya kepada Naib Canselor, itu adalah dasar kerajaan, katanya. Ditanya kepada pihak lebih atas, jawabnya itu bukan dasar tetapi amalan universiti berkenaan sahaja," katanya.

"Mana satu yang betul? Janganlah lepas tangan. Lebih buruk lagi kalau baling batu, sembunyi tangan."

Beliau menambah, Universiti Malaya telah mengarahkan 50 peratus subjek di setiap fakulti mesti diajar dalam bahasa Inggeris. "Jika tidak (dilaksanakan), dekan akan dipersalahkan. Bukankah ini ugutan," katanya.

Dr Mohd Puad, yang senator di Dewan Negara, turut membangkitkan kebimbangannya tentang saham Affin Holding akan dibeli oleh sebuah syarikat dari Hong Kong dengan harga RM2.85 sen, lebih rendah dari pasaran RM3.50.

"Kenapa ini dibenarkan berlaku? Apa rasionalnya penjualan ini, di mana mungkin 24% kepentingan Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Affin Holding Bhd, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera, milik perajurit yang banyak berjasa kepada negara akan terlepas kepada syarikat asing," katanya.

Beliau menggesa Bank Negara membatalkan penjualan tersebut jika ia berlaku kerana menurutnya ia bertentangan dengan semangat Dasar Ekonomi Baru.

Selain itu, Dr Mohd Puad juga mengecam Gagasan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, yang dianggapnya gagal memantau dan bertindak terhadap penguasaan syarikat bukan Melayu.

"Jangan nanti Gabem jadi gebeng, (orang) Jawa kata 'biskut'. Kalau direndam di dalam air sejuk, lembik... kalau direndam di dalam air panas, lagi lembik."



Sumberr:Klik SINI

No comments: