Wednesday, December 5, 2007

Dimanaakan kita.. golongan kiri @ kanan

Hasil Petronas, Caj PTPTN &
Subsidi Bagi rakyat
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Kelmarin (25 November 2007) saya ada terbaca satu berita kecil di akhbar perdana, ringkasannya seperti berikut :-
Belum putus hapus kos pentadbiran PTPTN: Mustapa
JELI: Keputusan untuk menghapuskan kos pentadbiran sebanyak tiga peratus yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata perbincangan perkara itu sedang berjalan dan turut membabitkan beberapa pihak lain, sebelum sebarang keputusan dibuat. Beliau berkata, sehingga sebarang keputusan belum dibuat, kerajaan akan mengekalkan kos pentadbiran tiga peratus setahun itu berdasarkan baki pokok bulanan.
"Kerajaan sudah buat kajian pada awal tahun ini mengenai perkara itu dan kita bersetuju mengekalkan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus setahun yang dikenakan kepada peminjam. "Bagaimanapun, kita meneliti semula perkara itu dan perbincangan mengenainya mengambil masa kerana membabitkan banyak pihak, khususnya Kementerian Kewangan kerana kita memerlukan peruntukan kewangan besar," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan bersedia menghapuskan caj tiga peratus atau mengurangkan caj terbabit, Mustapa berkata: "Penelitian itu belum dimuktamadkan... kajian belum muktamad dan kita tak tahu apa berlaku kerana ia bergantung kepada banyak pihak". (tamat petikan)
Hukum Caj PTPTN
Sebelum ini saya telah menulis fatwa ulama Islam berkenaan hukum caj perkhidmatan dalam pinjaman jenis begini di sekitar tahun 2006 yang lalu. Kesimpulannya, kaedah caj perkhidmatan yang dilaksanakan dengan mengenakan peratusan terhadap jumlah pinjaman yang diberi adalah bukan caj perkhidmatan yang diiktiraf di sisi Islam dan ia adalah Riba yang haram di sisi Shariah. Sila baca berkenaannya di sini Hukum Caj Perkhidmatan PTPTN
Umum juga telah mengetahui bahawa pihak PTPTN sebenarnya meminjam duit dari dana KWSP dengan kadar faedah 5 % (ini juga adalah riba yang diharamkan), lalu apa yang dikenakan oleh PTPTN kepada pelajar iaitu 3 % dikira agak rendah, ini adalah hasil subsidi sebanyak 2 % yang diberikan oleh kerajaan. Namun, riba tetap haram samada banyak atau sedikit, samada redha atau tidak, ia tetap riba yang diharamkan.
Justeru, disebabkan keputusan untuk mengabaikan permintaan pelbagai pihak untuk menghapuskan caj PTPTN masih belum dimuktamadkan, kita berharap lebih banyak pihak termasuk NGO di Negara kita sudi membantu para pelajar Malaysia dengan mendesak pihak berwajib dan berbincang agar caj perkhidmatan tersebut dapat dihapuskan.
Ia amat penting kerana mengelak riba serta merupakan tanggung jawab sosial kerajaan yang sebelum ini mewarwarkan ingin meningkatkan pembangunan manusia.
Isu ini juga telah dibangkitkan sekali lagi oleh rakan pensyarah UIAM dalam artikel beliau di utusan Malaysia pada 25 Okt 2007. Rujuk di sini.

Limpahan Hasil Petronas & Mampukah Malaysia Memberi Biasiswa?
Menurut belanjawan terkini yang disebutkan oleh Kementerian Kewangan, hasil pendapatan Malaysia berjumlah RM 141,790 juta pada tahun 2007. Dari jumlah ini pendapatan dari minyak dan gas sahaja mencecah RM 53,311 juta atau RM 53.3 billion
Jumlah RM 53,311 juta ini tidak termasuk lagi cukai yang perlu dibayar oleh syarikat-syarikat minyak di Malaysia. Justeru jumlah ini mampu meningkat lebih tinggi lagi.
Pendapatan hasil PETRONAS yang berjaya diraih oleh Negara sejak tahun 1974 diwartakan bernilai RM 500 billion, selain itu Menteri Kewangan Kedua juga pernah memberitahu bahawa setiap kenaikan USD 1 kepada harga minyak dunia, kerajaan turut mendapat penambahan pendapatan bersih sebanyak RM 250 juta.
Dalam tahun 2006 pula dinyatakan bahawa setiap kenaikan USD 1 bagi satu barrel minyak akan menambah hasil bersih Negara sebanyak RM 228 Juta. Rujukan di sini.
Kini, harga minyak sudah melebihi USD 80 satu barrel. Bayangkan berapakah jumlah pendapatn bersih darinya. Jika ia ditadbir dengan betul pastinya ekonomi rakyat akan lebih baik dari hari ini. Barangan yang semakin banyak akan naik mengancam golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kejayaan Singapura dalam membahagikan kekayaannya boleh diambil sebagai contoh, walaupun Singapura Negara pengimport petrol, mereka masih mampu membahagikan sebanyak S$ 2,000-2,500 kepada rakyat miskin dan faqir secara tahunan.
Justeru jika kerajan mengambil keputusan untuk meniadakan subsidi bagi petrol dan yang berkaitan dengan petrol yang dianggarkan berjumlah RM 40-50 billion setahun, kerajaan sudah tentu mempunyai kemampuan untuk memberikan pendidikan percuma atau minimum. PTPTN juga mampu diberi secara biasiswa kembali. Malah di ketika ini juga sepatutnya kerajaan sudah mampu berbuat yang lebih baik dari caj 3 % PTPTN itu.
Kita semua WAJIB berusaha agar index rasuah Malaysia dapat diperbaiki, gejala rasuah yang menular mesti disekat sebelum Malaysia kehabisan simpanan minyaknya. Tatkala itu Malaysia akan menjadi Negara pengimport minyak sahaja. Tanpa pengurusan bebas rasuah, Malaysia dan rakyat di dalam bahaya.
Di ketika itu, sumber pendapatan besar negara akan tergugat, hanya rakyat yang cekap dan berkemahiran sahaja boleh bersaing. Namun, rakyat yang dididik dan dibiasakan hidup atas suasana bisnes berlandaskan rasuah dan komisyen atas angin tidak akan mampu bersaing, kerana mereka tiada punyai sebarang 'skills', yang dipunyai hanyalah kemahiran tercanggih kaedah dan teknik menyogok sahaja. Rujuk tulisan saya ini. Statistik rasuah.
Menurut laporan PETRONAS pada tahun 1 Januari 2007 yang lalu, Malaysia masih mempunyai simpanan minyak sebanyak 3 billion barrel iaitu sekitar 18 tahun lagi dan simpanan gas sebanyak 75 trillion cubic feet (tcf) iaitu sekitar 33 tahun lagi.
Senarai Rujukan fakta di atas :-
1) http://www.eia.doe.gov/emeu/cabs/Malaysia/pdf.pdf
2) http://www.gasandoil.com/goc/company/cns52914.htm
3) http://www.aliran.com/content/view/342/10/
4) http://www.iht.com/articles/ap/2007/06/28/business/AS-FIN-EARNS-Malaysia-Petronas.php

Tol Pula ?
Hari ini juga timbul idea dari Dato Shahrir Abd Samad agar pihak kerajaan membeli saham PLUS expresway Berhad. PLUS kini merupakan satu-satunya pemegang konsesi lebuh raya yang terbesar menguasai lebuhraya Utara- Selatan dan sebahagain besar yang menuju ke Bandaraya KL.
Kata beliau pembelian itu nanti akan menjadikan aset PLUS sebagai aset awam, lalu isu kenaikkan harga tol dan pampasan yang perlu dibayar kerajaan dapat dikaji dan disemak semula sekaligus mampu mengelakkan rakyat dari bebanan kenaikkan wajib kadar tol yang terus berpanjangan. Pada hemat saya, cadangan ia adalah baik dan boleh dikaji lanjut dan diterima demi memberikan kebajikan dan jaminan sosial kepada rakyat.

Tadbir Urus & Info Dari Mufti
Seorang Mufti pernah memaklumkan kepada saya jika PETRONAS mengeluarkan zakat, nescaya majoriti umat Islam akan dapat begitu banyak merasa manfaat dari kekayaan Negara. Sehingga ini mufti tersebut berkata masih belum ada zakat yang dikeluarkan. Wallahu ‘alam.
Tadbir urus pendapatan lumayan dari hasil minyak yang telus dan berhemah akan membawa kebaikan pengurusan sesebuah Negara. Ia dibuktikan oleh Norway yang diwartakan mampu untuk hidup selama 80 tahun tanpa satu sen hasil pun, semuanya hasil kebijaksanaan menggunakan hasil kekayaan Negara.
Ini juga bertepatan dengan anjuran Islam yang mengajar agar berjimat cermat di waktu senang agar waktu susah dapat ditangani dengan lebih baik.
Hal ini pernah disebutkan di dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dalam perancangan lima belas tahun yang dilakukannya sebagai jalan keluar daripada krisis yang melanda negara.
Salah satu langkah yang diambilnya dalam perancangan itu ialah mengurangkan aspek kepenggunaan dalam tahun-tahun kemakmuran, di samping menyediakan bahan-bahan makanan yang dapat disimpan untuk menghadapi tahun-tahun kemarau.
Disebut di dalam Al-Quran:
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تَأْكُلُونَ
Ertinya : Yusuf berkata: ""Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan." (Yusuf: 47).
ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تُحْصِنُونَ
Ertinya : "Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan" (Yusof : 48)
Akhirnya, segeralah tambahkan keberkatan kepada ekonomi Negara, jauhkan diri dari riba, hancurkan rasuah, hemah berbelanja wang Negara dan PETRONAS, keutamaan dalam sektor pendidikan dan pembangunan manusiawi, kembali mewujudkan biasiswa PTPTN.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

No comments: