Saya membaca sebuah blog seorang warganegara Malaysia berbangsa cina yang menulis kesedihan beliau tentang tuduhan liar yang dilemparkan kepada kaum cina terutamanya di Malaysia seperti bangsa pendatang, warga tidak berterima kasih, bangsa syaitan yang tidak boleh mendengar azan dan menyuruh pulang ke Tanah Besar Cina. Lebih berat lagi tuduhan ini bukanlah dilakukan oleh penagih dadah, mat rempit, pelacur, pengangkang dan pengemis tetapi diluahkan oleh seorang yang berjawatan tinggi dan berpengaruh. Apa reaksi kita sebagai warganegara yang waras dan boleh berfikir secara sihat. Saya tidak lihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang sihat dan boleh dibiarkan berlarutan. Kita sedia maklum bahawa Malaysia tercinta sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum yang unik dan telah termaktub kemas di dalam perlembagaan. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Siam dan lain-lain adalah anak Malaysia dan anak semua bangsa. Tidak perlu kita bertelagah tentang isu-isu hak ketuanan melayu dan sebagainya. Terlalu sempit hidup ini kalau hanya difokuskan tentang perkara tersebut.Kita anak semua bangsa. Seharusnya kita berbaik sangka antara satu sama lain. Janganlah disebabkan pembacaan akhbar kita yang sempit dan terpengaruh dengan paparan berita TV yang belum tentu tepat kita sudah melenting tak bertempat lantas menuduh orang itu begitu dan begini.
Kita sedar sebagai kaum melayu, kita masih ketinggalan dalam ekonomi, pendidikan dan alam pemikiran yang matang. Jadi apa yang perlu kita buat. Belajarlah dengan mereka yang sudah di hadapan. Janganlah bodoh sombong! Jangan seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, pentingkan diri sendiri! Buang jauh-jauh hasad dengki. Ini tidak, lihat sahaja melayu yang berjaya, macam-macam tuduhan dilemparkan. Ada sahaja bangsa melayu meningkat naik, rasuah lah tuh, bodek la tuh, dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pendidikan. Kalau senior bangsa lain sibuk membahagi-bahagikan nota untuk freshies, bangsa kita sibuk me’raging junior melalak pada waktu dinihari atas alasan orientasi pelajar baru. Siapa yang salah?
Berbalik kepada persoalan asas sebagai warganegara Malaysia, kita perlu bersaing secara waras dan sihat dalam segenap lapangan. Paradigma dan pola berfikir cara baru bangsa kita kalau ingin terkehadapan, mestilah dimulakan dengan membuang sifat-sifat negatif yang sejak zaman-berzaman menghantui kita. Hapuskan pemikiran ‘inferior’ berdasarkan kefahaman kaum dan bangsa yang sempit. Kita anak semua bangsa. Bangsa Malaysia! Tidak ada hak ketuanan Melayu. Yang ada hak ketuanan Islam! Dan islam itu bukan milik melayu sahaja! Cina, India, Murut, Iban, Kadazan dan bangsa siam juga ramai yang beragama islam dan kadang-kadang lebih baik dari islam kaum melayu !
1 comment:
takbir!
Post a Comment